SBP: Antara dua darjat

ARKIB : 29/11/2010
SBP: Antara dua darjat

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

Reputasi sekolah berasrama penuh (SBP) sebagai institusi yang melahirkan modal insan berkualiti tinggi sudah terbukti. Saban tahun, pencapaian akademik pelajar SBP secara keseluruhan adalah yang ter- baik. Dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sepuluh sekolah terbaik sentiasa didominasi oleh SBP.

Kecemerlangan ini disebabkan suasana pengajaran dan pembelajaran (P&P) di SBP sangat kondusif. Kemudahan prasarananya lengkap dan sempurna. Komitmen pengurusan dan guru di sekolah kategori ini juga amat tinggi.

Faktor tersebut membuat ramai ibu bapa mahu menghantar anak ke SBP termasuk yang tidak mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Hakikatnya tempat yang ada sangat terbatas. SBP hanya mampu menampung sepuluh peratus daripada 48,327 calon yang mendapat semua A dalam UPSR baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Kementerian Pelajaran akan menggunakan asas pemilihan pelajar cemerlang daripada keluarga miskin untuk kemasukan ke SBP mulai pengambilan tahun depan.

Hal ini selari dengan matlamat asal penubuhan SBP iaitu untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera yang cemerlang dan berpotensi daripada keluarga berpendapatan rendah sama ada dari bandar, kampung mahupun pedalaman.

Sejak tiga dekad yang lalu, dasar ini telah berjaya membanteras kemiskinan melalui pendidikan. Hasilnya, ramai lepasan SBP yang kini mengisi jawatan utama sama ada di sektor awam mahupun swasta. Ramai juga yang menjadi pemimpin ternama dan usahawan yang berjaya.

Justeru, ibu bapa yang berkemampuan usahlah bersaing untuk merebut tempat ke SBP ini. Berilah ruang dan peluang kepada yang lebih memerlukannya. Hantarlah anak kita ke sekolah harian biasa yang tidak kurang hebatnya.

Ada juga sekolah harian yang berstatus Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Kluster Kecemerlangan. Walaupun bilangan sedikit namun ia akan ditambah dari semasa ke semasa.

Manakala ibu bapa yang pendapatan isi rumahnya puluhan ribu sebulan pula boleh memilih sekolah swasta sebagai alternatif.

Secara sifir mudahnya, ibu bapa kategori ini mampu menyediakan kemudahan pendidikan yang setara atau lebih baik daripada apa yang terdapat di SBP.

Mereka tentunya tidak menghadapi kekangan kewangan untuk menghantar anak ke pusat tuisyen atau mengupah guru mengajar di rumah. Apatah lagi membeli buku latih tubi atau sisipan pendidikan Utusan Malaysia.

Jika masih belum mencukupi, langgan pakej pembelajaran atas talian yang banyak terdapat di pasaran, misalnya Portal Pendidikan Utusan di www.tutor.com.my.

Kepada alumni SBP, inilah masa untuk membalas jasa. Pertama, jangan hantar anak ke SBP walaupun layak secara akademik supaya anak orang susah dapat menikmati kemudahan belajar yang sempurna. Hal ini keranan mungkin itu satu-satunya peluang untuk keluarga tersebut keluar daripada belenggu kemiskinan.

Kedua, hulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk khususnya kewangan untuk membantu pelajar di SBP yang memerlukannya sama ada sebagai wang saku atau untuk membeli buku, alat tulis dan pakaian kelengkapan sekolah.

No comments: