NASIONAL Wahabi tak sesuai untuk umat Islam Malaysia: Mashitah

Jumaat, 06 November 2009 (Berita Harian)
NASIONAL Wahabi tak sesuai untuk umat Islam Malaysia: Mashitah

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat, sebaliknya beranggapan ia tidak sesuai untuk umat Islam negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Jika sesat, habislah jemaah kita yang solat di Makkah kerana mengikut tok imam di sana yang berfahaman Wahabi. Fahaman itu tidak sesat, cuma ada perbezaan dengan apa yang kita amalkan selama ini," katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan, di Masjid Wilayah, di sini semalam.

Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.



Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.

Berikutan itu, Mashitah berkata, kerajaan dan Majlis Fatwa sedang menelitinya secara berhati-hati supaya tidak membahayakan dan menimbulkan ketegangan di kalangan orang agama atau masyarakat.

"Jika menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat atau menyentuh soal akidah hingga membawa terbatal syahadah, tindakan akan dikuatkuasakan.

"Fahaman Wahabi yang disifatkan sebagai isu sensitif masih boleh dibendung kerana perbezaan aliran itu masih boleh diterima selagi tidak menyentuh akidah. Kita mengambil pendekatan yang halus dan diplomasi kerana banyak yang perlu kita jaga terutama perpaduan masyarakat," katanya.

No comments: