Ibu kedekut keluar belanja anak di universiti

myMetro bullet Bimbingan bullet Dang Setia
Ibu kedekut keluar belanja anak di universiti


2010/03/21
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SOALAN

SAYA berumur 21, ada lima beradik dan menuntut di IPTA di utara Malaysia. Bapa saya meninggal dunia pada 2004 kerana kanser paru-paru. Selepas kematiannya, kami menerima wang pencen hampir separuh gajinya ketika berkhidmat dulu.
Ibu juga pernah bekerja dan ada wang pencen sendiri. Jika dicampur jumlah wang pencen ibu dan arwah bapa saya, jumlahnya hampir RM2,000. Masalah yang sering mengganggu fikiran saya kebelakangan ini ialah ibu sangat mementingkan diri dan berkira dalam soal wang ringgit.

Ketika awal kemasukan ke IPTA, saya mendapat cek bernilai RM1,500 daripada PTPTN. Ibu ajak saya ke bank untuk tunaikan cek dan dan dia beri saya RM300 saja. Selebihnya, kata ibu, dia akan masukkan ke akaun saya.

Bagaimanapun, selepas seminggu saya dapati tiada wang dimasukkan ke akaun saya. Apabila saya menuntut wang itu, ibu kata saya menggunakan terlalu banyak wang di universiti, sedangkan itu hak saya.

Saya terpaksa berjimat cermat menggunakan wang sehingga pernah berpuasa sebulan kerana tak cukup wang untuk makan. Banyak wang saya perlukan untuk membuat salinan fotostat dan beli buku pelajaran.

Ibu juga sangat berkira untuk mengeluarkan wang jika ada adik beradik saya yang sakit. Jika ada sekalipun selang beberapa minggu, hal itu akan dia ungkit kembali. Ibu juga sering bercerita kepada jiran mengenai perbelanjaan saya di universiti yang katanya terlalu banyak,

Hakikatnya saya hanya makan sekali sehari dan sering mengalami gastrik akibat tidak cukup wang.

Adik beradik lain tidak mengalami nasib seperti saya dalam hal akademik kerana keputusan peperiksaan mereka sederhana.

Ibu menghantar adik lelaki saya yang berusia 16 tahun ke Giat Mara untuk mengambil kursus kemahiran teknikal kerana adik bakal memperoleh elaun bulanan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Jadi, ibu hantar dia ke sana kerana wang.

Baru-baru ini ibu hanya beri saya RM60 untuk perbelanjaan kemasukan semester baru. Apabila saya meminta ibu memasukkan RM100 minggu berikutnya sementara menunggu wang PTPTN, ibu mengungkit perihal perbelanjaan saya.

Saya sangat sedih mempunyai ibu seperti ini. Pernah saya terfikir mengapa tidak beliau dijemput Ilahi saja dan mengapa bapa yang harus pergi dulu?

Ketika bapa masih hidup segala kemahuan kami adik beradik dipenuhi tanpa mengungkit sedikit pun.

Saya mohon pandangan Dang Setia untuk kurangkan tekanan yang saya alami.

KITTY


JAWAPAN

Dang Setia faham tekanan yang adik alami, namun untuk mendoakan supaya emak kita mati hanya disebabkan kekangan masalah kewangan, bagi Dang Setia ia tindakan yang tidak sepatutnya dan keterlaluan.

Seperti Dang Setia sering nyatakan di ruangan ini, biar seburuk manapun sikap ibu, kita sebagai anak tidak boleh bersikap kurang ajar, apatah lagi mendoakan keburukan untuknya.

Sebaliknya, yang sepatutnya kita lakukan ialah berdoa semoga Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada ibu kita supaya dia sedar serta insaf akan kesilapannya dan seterusnya kembali ke pangkal jalan.

Apapun, Dang Setia percaya jauh di sudut hati adik sebenarnya tidak bermaksud mendoakan ibu adik meninggal dunia, sebaliknya ia adik lakukan di luar kawalan disebabkan terlalu tertekan dan tidak tahu apa perlu dibuat.

Dang Setia juga tidak bulat-bulat memihak kepada ibu adik, malah jika berdasarkan cerita adik, Dang Setia juga bersetuju bahawa ibu adik melakukan kesilapan dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Bagaimanapun, dalam soal membabitkan ibu atau bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab, kuasa yang ada pada anak terbatas. Biarpun pedih dan sukar, hakikat ini perlu adik terima.

Berurusan dengan ibu bapa tidak sama dengan rakan. Kalau dengan rakan, kita boleh marah atau jarakkan hubungan dengan mereka, namun dengan ibu bapa kita tidak boleh berbuat demikian.

Yang perlu kita lakukan ialah menangani masalah yang timbul dengan cara halus dan berhemah.

Dalam soal masalah kewangan yang adik hadapi, pada pendapat Dang Setia adik perlu lebih bijak menguruskan wang yang adik miliki dan bijak juga merahsiakannya daripada ibu adik.

Jangan melawan atau bersikap kurang ajar dengan ibu, tetapi apa yang adik lakukan ialah untuk kebaikan iaitu bagi memastikan adik mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan perbelanjaan di universiti.

Jika adik masih kekurangan wang, mungkin keadaan memerlukan adik bekerja lebih keras iaitu melakukan kerja sambilan. Memang ia perkara sukar, namun percayalah ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Sepanjang pengalaman dan pemantauan Dang Setia, ramai anak orang miskin tetap berjaya dalam pelajaran mereka kerana kesabaran serta kegigihan mereka mencari wang sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibu bapa atau pihak lain.

Mungkin keadaan itu akan menyebabkan adik mengeluh kerana menyifatkan diri adik bernasib malang berbanding rakan lain yang ibu bapa mereka mewah dan mereka senang-senang saja mendapat bekalan kewangan.

Jika begitu keadaannya, nasihat Dang Setia, jangan sekadar lihat orang yang lebih senang, sebaliknya sedarilah ramai lagi insan lain yang belajar di universiti yang hidup mereka lebih sukar daripada adik.

Seterusnya, lihat pula apa usaha serta kegigihan mereka untuk mengatasi masalah itu dan itulah contoh yang perlu adik ikuti.

No comments: