34 peratus gaji bulanan pekerja kilang bawah RM700

34 peratus gaji bulanan pekerja kilang bawah RM700


2010/08/06
Kebanjiran tenaga kerja asing antara sebab upah tak naik

KUALA LUMPUR: Satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja sektor perkilangan memperoleh pendapatan bulanan bawah RM700.
Gaji bulanan RM700 itu adalah di bawah garis kemiskinan yang ketika ini ditetapkan bawah RM720 sebulan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kajian Perolehan Pekerjaan Nasional 2009 terhadap 1.3 juta pekerja yang dipilih secara rawak itu memberi penekanan terhadap soal pentingnya tahap gaji ini dinaikkan, terutama selepas kementerian itu mendapati bahawa sukar untuk menyerahkan soal gaji pekerja kepada kuasa pasaran semata-mata.

Beliau turut merujuk kepada kajian Bank Dunia yang mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lepas berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu.

“Kerajaan pada dasarnya bersetuju supaya gaji ini dinaikkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Subramaniam berkata, kebanjiran pekerja asing adalah antara beberapa sebab kenapa gaji pekerja tidak meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lalu.
“Kerja yang memerlukan kemahiran tinggi pasti menuntut gaji yang tinggi, namun dalam banyak keadaan majikan tidak membayar gaji berdasarkan kemahiran, sebaliknya bergantung ke-pada pekerja asing yang tidak berkemahiran," katanya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Dr S Subramaniam berkata, semua kurikulum latihan kemahiran vokasional dan teknikal di negara ini akan diseragamkan menjelang hujung tahun depan bagi meningkatkan tarafnya dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Subramaniam berkata, penyeragaman kurikulum yang dibincangkan Majlis Penyelarasan Kebangsaan akan mengikut piawaian antarabangsa sekali gus meningkatkan kualiti tenaga kerja mahir di negara ini.

Katanya, penyeragaman itu akan dapat mengelakkan pertindihan dalam kursus yang ditawarkan pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu juga dijangka dapat mencapai sasaran negara untuk melahirkan 1.8 juta pekerja mahir berkualiti dalam tempoh lima tahun selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).

“Langkah ini memastikan jumlah tenaga pekerja mahir tempatan dapat ditingkatkan daripada 23 peratus kepada 37 peratus menjelang 2015," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009, di sini, semalam.

Mengenai 250 pekerja Paycomm Network Sdn Bhd yang berpiket di hadapan ibu pejabat syarikat itu kelmarin kerana mendakwa tidak dibayar gaji dua bulan, Dr Subramaniam berkata, Jabatan Tenaga Kerja sedang menyiasat perkara itu.

No comments: