Dr Zaini penerima termuda Anugerah Merdeka 2009

Dr Zaini penerima termuda Anugerah Merdeka 2009
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my





Tokoh dipilih bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang menjadi penerima termuda Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik yang diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd Hassan Marican, di sini semalam.

Kolumis Berita Harian itu adalah penerima sulung anugerah kategori berkenaan selepas tiada individu menerimanya dalam edisi pertama Anugerah Merdeka, tahun lalu.



Mohd Hassan berkata, pemilihan Zaini dibuat berdasarkan kajian dan sumbangan beliau dalam pengurusan bekalan air, saliran, pemuliharaan sungai dan ekologi bidang industri.

"Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.

"Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia.

"Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dan bidang pengajian tinggi dihasilkan beliau diterbitkan dan kini menjadi rujukan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara," katanya pada Majlis Pengumuman Penerima Anugerah Merdeka 2009, semalam.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Hugh W Thompson; Ahli Jawatankuasa Penamaan, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin, Datuk Dr Mikaail Kavanagh dan Tan Sri Dr Augustine Ong dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Mohd Hassan turut mengumumkan Tun Dr Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Gan sebagai penerima bersama Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti bagi menghargai sumbangan mereka dalam memperjuangkan hak wanita, manakala Prof Dr Halimaton Hamdan menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas kejayaan beliau membangunkan dan mengkomersialkan Maerogel yang kini digunakan di seluruh dunia.

"Selepas Jawatankuasa Penamaan dan Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Merdeka meneliti senarai calon yang ada, keputusan muktamad diambil dan tiada terpilih untuk menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Alam Sekitar dan Sumbangan Ulung kepada Rakyat Malaysia tahun ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd, berkata anugerah tahun ini menarik apabila Tun Dr Fatimah dipilih sebagai penerima bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

"Tahun lalu, anak beliau, iaitu Prof Datuk Dr Khalid Kadir menerima anugerah untuk kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi dan edisi 2009 ini, beliau sendiri dipilih menerima anugerah berprestij bagi kategori Pendidikan dan Komuniti," katanya.

No comments: