Anak angkat jadi pengkid
Kemewahan dibalas dengan memalukan keluarga
SAYA ibu angkat pada anak perempuan umur 21 tahun dan dia kini bekerja di jabatan kerajaan. Dukacitanya sikapnya menjadi pengkid menyerupai lelaki.
Oleh kerana marah, suami saya memukul dan memaki hamunnya. Dia anak yatim yang saya bela dari kecil sehinggalah sekarang.
Dengan kereta yang saya beri padanya untuk kemudahan pergi kerja, dia menjadi kaki wayang, menghisap rokok, berbelanja mewah dan berperangai seperti lelaki. Paling dikesalkan dia tidak mahu solat dan panas baran.
Perlukah saya memberitahu ketua jabatannya mengenai kelakuannya itu. Dia pernah mengugut akan berhenti kerja jika diadukan kepada ketua jabatannya. Bagaimanakah mahu melembutkan hatinya. Saya sudah puas berdoa, begitu juga ibu kandungnya tidak putus berdoa, tetapi masih tiada perubahan.
IBU DUKA,
Kepong
SALAM sabar buat ibu angkat. Semoga tabah melalui ujian Tuhan. Anak adalah hadiah atau padah pada sesebuah keluarga. Anak yang baik penawar buat ibu bapa ke syurga tetapi apabila anak jadi nanah dalam hidup, ibu bapa akan terdedah ke pintu sengsara di dunia dan mungkin juga di akhirat. Sebab itu ibu bapa diingatkan jika kamu takut anak menangis waktu mereka kecil, maka kamu akan menangis bila mereka dewasa. Atau kata orang tua, ibu bapa hari ini melahirkan raja dan ibu bapa dijadikan hamba seumur hidup mereka. Persoalan yang puan hadapi ini hanya dirasakan sangat serius setelah anak ini sudah berumur 21 tahun .Tahap di mana anak ini sudah mencecah usia agak dewasa dengan hak kebebasan pada anak-akan bertukar identiti setelah berumur 21 tahun. Jika diteliti apa yang dia lakukan berpunca daripada tidak kuatnya keyakinan bertuhan di hatinya, sehingga dia boleh hidup tanpa berasa perlu menghormati Tuhan dalam aktiviti hariannya. Dia terdedah dengan kemewahan yang dibekalkan dan gaji yang dia miliki membuatkan dia terjebak jauh ke lubuk hidup yang lebih memilukan. Pada peringkat ini, dia sudah berasa tidak perlu nasihat dan kawalan orang tua lagi, sebab itu dia tidak akan mendengar nasihat kita orang tuanya kerana dia berasa sudah boleh hidup berdikari. Anak ini juga jadi bermasalah dengan krisis identiti dalam dirinya. Keadaan ini mungkin juga berpunca daripada pengalamannya yang pernah dipermainkan perasaannya oleh lelaki, seperti gagal dalam percintaan atau pernah dendam dengan lelaki yang mempermainkannya, lalu satu cara yang dapat merawat dendamnya dengan lelaki, dia akan menggoda gadis seramai mungkin sebagai merawat lukanya. Antara punca lain yang menyebabkan dia berkelakuan sedemikian kerana dia tidak diterima oleh kelompok sejenisnya secara akrab, atau dia disisihkan lalu memilih menjadi perwatakan lelaki dan mengumpan wanita dengan perwatakan kelelakian itu. Naluri ini perlukan nasihat pakar untuk membantunya kerana isu ini adalah terlalu sensitif untuk dibincangkan dan boleh menimbulkan krisis peribadi yang panjang. Malah boleh mengakibatkan anak ini memisah diri daripada keluarga yang tidak menerima gaya hidup yang dipilihnya. Tindakan yang sesuai dilakukan ialah bersikap rapat dengannya dan fahami masalah yang mengakibatkan dia berkelakuan sedemikian secara santun dan bersikap simpati, bukan dengan gaya sergah dan ugutan dari segi material. Ini kerana anak yang memilih gaya hidup begini ada kumpulan mereka sendiri, malah ada persatuan mereka sendiri yang mempunyai jadual pertemuan yang dirancang pada hujung minggu di kawasan tertentu. Jika dikasari atau diugut hingga mereka berasa terancam, mereka boleh jadi agresif. Untuk keselamatan kita mintalah dia memperkenalkan rakan-rakannya dengan kita ibu bapa bagi menjejaki perkembangan anak-anak. Andai anda mampu memujuknya dan membawanya mendapatkan nasihat dan kaunseling dengan orang yang dipercayai, ada kemungkinan anak ini boleh dibantu untuk mengembalikan keyakinannya bahawa adalah selamat untuk kembali semula hidup sebagai wanita. Dorongan yang positif daripada ibu bapa dan seluruh ahli keluarga serta rakan-rakannya boleh membantu. Langkah seterusnya bantu dia untuk mendapat sentuhan agama yang berkesan agar terbangun perasaan bertuhan di hati dan tindakannya serta dia dapat merasa nikmat menjadi orang beragama yang sebenar. Akhir sekali terimalah anak ini atas dasar cinta dan kasih sayang yang ikhlas sebagai hadiah daripada Allah , bukan atas dasar marah dan benci serta melihatnya sebagai bermasalah dan membebankan lalu menghukumnya mengikut naluri kita. Sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah secara ikhlas agar diberikan jalan hidup yang diredai Allah.
sumber
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/KaunselorAnda/20091227052658/Article/
No comments:
Post a Comment