Budak 3 tahun hafaz3 juzuk al-Quran

Budak 3 tahun hafaz3 juzuk al-Quran


Dr. Zambry Abd. Kadir bersama Darwisha Adriana Rozali dan ibunya pada majlis sambutan ulang tahun ke-4 Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



IPOH 27 Jun - Kebolehan Darwisha Adriana Rozali, 3, memperdengarkan bacaan surah al-Waqiah bukan sahaja mengagumkan kira-kira 1,000 hadirin tetapi turut menarik perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Darwisha berjaya menghabiskan bacaan hafalan 96 ayat dalam surah ke-56 itu dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Ibunya, Mazlina Ramli, 39, ketika ditemui berkata, kebolehan anak sulungnya itu terbukti apabila dia mampu menghafaz tiga juzuk al-Quran termasuk surah-surah pendek dalam juzuk ke-30.

"Sejak usia enam bulan, saya sudah mendedahkan kepada Darwisha Adriana ayat al-Quran menerusi cakera padat video (VCD) surah al-Furqan.

"Saya mengajarnya dengan menggunakan buku Iqra' ketika berusia setahun," katanya yang berasal dari Shah Alam.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan sekolah tahfiz al-Quran dan hadis dalam usaha melahirkan tahfiz yang berkaliber di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi membolehkan pelajar yang menamatkan pengajian di sekolah-sekolah agama dapat meneruskan pengajian tahfiz mereka.

"Setakat ini, sebuah pusat pengajian tahfiz sudah diwujudkan di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan tahfiz," katanya di sini.

Sementara itu, Zambry berkata, perkembangan Pusat Pendidikan Al Barakah merupakan satu pendekatan yang komprehensif ke arah melahirkan insan yang mempunyai kemahiran dalam bidang agama.

No comments: