Bumiputera Dalam Ekonomi Negara

Berikut adalah sedutan agenda pembangunan bumiputera dalam RMK10 yang dibentangkan oleh PM semalam.

TS3.1: Penyertaan Masyarakat

Bumiputera Dalam Ekonomi Negara

Agenda pembangunan Bumiputera pula akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya, untuk kita melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.

Ertinya, keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.

Syarikat Bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.

Jika diimbau, matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hak milik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera kini akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.

Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti berikut:

* Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui dan diperkukuh bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.

Dalam konteks ini, kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera. Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.

EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Sehubungan itu, kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa.

* Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera. Dalam konteks ini,Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampung Baru merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.

* Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion, yang saya umumkan tadi akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.

Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM3 bilion akan disediakan.

Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam.

Kini, tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus kepada 51 peratus.

* Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan efisien dan efektif.

No comments: