Gaza dan Israel

Nota maut


2010/06/07 - BERITA HARIAN


PULANG SEBAGAI WIRA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sambil mendukung Nur Nuhasakinah Noorazman, 2 tahun, bersama delegasi misi ke Gaza menaiki kapal Mavi Marmara yang baru pulang dari Istanbul di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, semalam.Komando Israel bawa senarai misi bunuh aktivis Mavi Marmara

SEPANG: Komando Israel yang menyerang dan menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza – Mavi Marmara, seminggu lalu, mempunyai senarai nama serta gambar sukarelawan yang hendak dibunuh, sekali gus menguatkan lagi bukti bahawa serangan itu sudah dirancang lebih awal.

Mendedahkan rancangan tentera Yahudi itu, Ketua delegasi sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd Samsuddin, berkata aktivis yang terbunuh dalam serangan pada subuh 31 Mei lalu itu meliputi mereka yang dikenal pasti dalam senarai berkenaan. Beliau yang selamat pulang ke tanah air bersama 11 sukarelawan Malaysia semalam, berkata senarai itu dijumpai daripada seorang daripada komando Israel yang menaiki kapal terbabit. “Dalam kekalutan itu, anak kapal sempat memeriksa dan merampas senjata daripada tiga tentera sebelum membuangnya ke laut. Kami juga menjumpai senarai dipercayai sasaran yang dicari tentera Israel,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Noorazman dan 11 sukarelawan Malaysia itu dibebaskan Israel Rabu lalu, dua hari selepas kapal yang dinaiki untuk menghantar bantuan ke Gaza diserang mereka menyebabkan sembilan sukarelawan pelbagai negara terbunuh.

Noorazman berkata, beliau menyedari akan berlaku pertempuran berdarah atas kapal Turki itu sebaik saja tiga komando Israel menaiki Mavi Marmara dengan membawa senarai berkenaan.

“Kami percaya Israel mahu mencari dan membunuh sasaran tertentu kerana ada sukarelawan hanya menjadi mangsa peluru getah walaupun pada mulanya pancaran laser dihalakan tepat ke dahi dan kami boleh ditembak mati jika mereka mahu.
“Syukurlah, tidak ada rakyat Malaysia dalam senarai tentera Israel itu, tetapi ada antara kami cedera ketika tentera Zionis menyerbu kapal,” katanya.

Noorazman berkata, rancangan tentera Israel itu perlu didedahkan kepada umum supaya masyarakat antarabangsa tidak terpengaruh dengan dakyah rejim bahawa peluru hidup digunakan sebagai pilihan terakhir.

Katanya, anak kapal dan penumpang pula bertindak nekad mempertahankan diri kerana menyedari serangan itu sebenarnya adalah misi untuk membunuh.

“Kami tekad merampas senjata sebelum mereka berpeluang menembak. Walaupun dihujani peluru dan senjata disasarkan tepat ke dahi, kami kuatkan semangat serta memberanikan diri bagi merampas senjata mereka. Kami juga mengibarkan bendera putih sebaik saja tembakan bermula,” katanya.

Noorazman berkata, semua sukarelawan terbabit menjalani latihan minda dan psikologi mengenai bahaya yang mungkin dihadapi, termasuk serangan tentera Israel dan bersedia untuk mati ketika misi itu.

“Mereka yang terkorban ialah saudara yang makan sepinggan selama lima hari dan kami tangisi kematian mereka tetapi pengorbanan itu tidak sia-sia,” katanya.

*********

Berjaya susup 5 pita rakaman
Oleh Magendran Rajagopal, Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim

2010/06/08
SEPANG: Berita serangan tentera Israel terhadap Mavi Marmara yang mengorbankan sembilan aktivis kemanusiaan dari Turki tidak melemahkan semangat saya dan jurugambar serta aktivis lain untuk meneruskan misi bersama kapal Rachel Corrie. Malah, ia membakar semangat kami untuk merakamkan lebih banyak gambar untuk tatapan masyarakat dunia, kata wartawan penyiaran TV3, Halim Mohamed.

Beliau berkata, walaupun kecewa kerana gagal merakamkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza dan menemubual beberapa pemimpin Palestin serta rakyat negara itu, kejayaan membawa keluar lima pita rakaman yang mengandungi gambar misi berkenaan, sedikit sebanyak mengubat kesedihan itu. Halim dan jurugambar, Mohd Jufri Judin adalah antara enam aktivis Malaysia yang dibebaskan Israel kelmarin selepas kapal MV Rachel Corrie yang dinaiki mereka diarahkan ke Pelabuhan Ashdod. Mereka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amman, Jordan bersama ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria; anggota Perdana Global Peace Foundation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; penaung PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penasihatnya, Datuk Mukhriz Mahathir.

Ketika ditemui, Halim berkata, walaupun perasaan takut menyelubungi mereka yang berada di atas kapal Rachel Corrie, pengalaman aktivis lain banyak membantu menenangkan mereka.

Bagaimanapun, pengalaman ketika disoal siasat tentera Israel dan terpaksa bermalam di pusat tahanan mereka, tidak akan dilupakan sampai bila-bila, katanya.
Sementara itu, Jufri berkata, maklumat lengkap yang diperoleh Israel mengenai latar belakang mereka amat mengejutkan.
**********

Seolah Israel mempunyai database yang lengkap kan...

No comments: