Rancangan Malaysia Ke-10 Dalam Sektor Pengajian Tinggi

http://khalednordin.com/?p=619

Rancangan Malaysia Ke-10 Dalam Sektor Pengajian Tinggi

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abd Razak semalam mengambil berat dan mengutamakan sektor pengajian tinggi di Malaysia. RMK-10 ini membuktikan bahawa pihak Kerajaan tidak melupakan pembangunan fizikal dan intelektual. Bukti Kerajaan pimpinan YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak amat menitikberatkan sektor pengajian tinggi ialah melalui Teras Strategik Keempat RMK-10 iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia di Malaysia ini.

Bagi mengekalkan modal insan bertaraf dunia, kerajaan melalui RMK-10 ini akan mengambil langkah terbaik dalam memperkukuh sistem latihan dan pendidikan Negara. Perkara ini akan dimulakan daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Dalam masa sama, Kerajaan juga akan terus memastikan latihan dan kualiti kemahiran guru dan tenaga pengajar di Malaysia terus berada di tahap terbaik.
Bukti Kerajaan serius dalam meneruskan pemerkasaaan bidang pengajian tinggi dan modal insan ialah dengan meningkatkan kompetensi graduan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia. Melalui RMK-10, Kerajaan mengumumkan boleh upaya diambil kerja graduan atau employability bagi setiap universiti akan diambil kira sebagai KPI Universiti.

Dalam mencetuskan peningkatan usaha pihak universiti bagi melahirkan modal insan yang employability dan berprestasi tinggi, Kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan kepada universiti melalui pencapaian KPI universiti masing-masing, serta memberi secara berperingkat autonomi kepada universiti. Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak juga telah mengumumkan peningkatan peratusan staf akademik yang berkelulusan PhD iaitu 75 peratus untuk Universiti Penyelidikan dan 60 peratus untuk universiti awam lain. Program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran atau MyBrain15 akan digerakkan bagi mencapai 18,000 kelulusan PhD pada 2015 nanti.

Saya juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pihak Kerajaan kerana terus memandang serius aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di negara ini. Buktinya, Kerajaan terus mengiktiraf UM, UKM, UPM dan USM sebagai Universiti Penyelidikan atau Research University. Malah, tidak cukup dengan itu, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak turut mengiktiraf UTM sebagai Universiti Penyelidikan ke-5 di Malaysia. Syabas dan tahniah kepada warga dan alumni UTM.

Bagi melahirkan modal insan terbaik di Malaysia, tenaga pengajarnya haruslah dari kalangan yang mahir dan bermotivasi tinggi. Melalui kesedaran ini, pihak Kerajaan minitikberatkan golongan profesor sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Majlis Profesor Negara (MPN) yang dilancarkan Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini adalah suatu inisiatif yang ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak. Malah, Kerajaan juga melalui RMK-10 ini telah mengumumkan skim perkhidmatan lebih baik untuk profesor di IPTA, inisiatif baru iaitu mewujudkan jawatan Profesor Kanan dengan tangga gaji Gred Turus dan memantapkan lagi jawatan Profesor Di Raja sedia ada.

Usaha-usaha ini adalah semata-mata untuk merealisasikan konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang menjadi pegangan utama pihak Kerajaan kini. Dengan tema ‘Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial’, saya yakin dan percaya, program RMK-10 ini akan terus berjaya dan mampu mendahulukan rakyat Malaysia juga memberi keutamaan kepada prestasi kerja.

No comments: