IPT terbaik Asia Barat

Global: IPT terbaik Asia Barat
Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/07/08
JUST jadi pilihan pelajar Malaysia lanjut pelajaran

MENJADI universiti pilihan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Kamal dan destinasi penghantaran pelajar program perubatan Mara menjadikan Jordan University Science of Technology (JUST) bukan lagi nama asing kalangan pelajar Malaysia.
Muncul antara institusi pengajian tinggi terbaik di Asia Barat, tidak hairanlah ia terus menjadi pilihan pelajar Malaysia saban tahun untuk meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang pengajian ditawarkan khususnya dalam bidang perubatan.
Memfokuskan penawaran program dalam bidang perubatan, pergigian, kejururawatan, kejuruteraan, pertanian, perubatan veterinar, sains komputer dan sains semula jadi, JUST juga tersenarai dalam kedudukan universiti penyelidikan terbaik di Jordan dan tersenarai dalam kelompok IPT dunia Islam terbaik berdasarkan kajian Ankara-based Statistical, Economic and Social Research and Training Center for Islamic Countries.

Pencapaian itu bersandarkan kualiti tinggi program ditawarkan selain kekuatan rangkaian kerjasama yang menjurus kepada perkongsian kepakaran akademik mahupun penyelidikan dengan pelbagai universiti dunia termasuk Malaysia.

Kewujudan pusat kajian saintifik dan kecemerlangan menjadi titik tolak kepada kecemerlangan penyelidikan menerusi Pusat Kajian Sains Alam Sekitar dan Teknologi Queen Rania Al-Abdullah, Pusat Kajian Bioteknologi Princess Haya, Pusat Kajian Farmaseutikal, Pusat Kesihatan Veterinar, Pergigian dan Pusat Perkembangan Akademik.

Dana penyelidikan daripada pelbagai sumber turut membantu universiti itu membiayai projek penyelidikan termasuk menghantar pensyarahnya menyambung pengajian peringkat lebih tinggi di universiti terkemuka dunia. Malah, setiap tahun dianggarkan lebih 200 projek penyelidikan dijalankan universiti.
Jaminan kualiti turut menjadi fokus pengurusan tertinggi universiti dengan penubuhan JUST Quality Assurance Office bagi memastikan kelestarian kualiti program mahupun pentadbiran.

Enrolmen pengambilan pelajar diberi penekanan bagi memenuhi visi untuk meningkatkan standard pengajian tinggi di Jordan sejajar dengan polisi pendidikan kebangsaan untuk mencapai wawasan menjadi universiti penyelidikan antarabangsa menjelang 2012.

Sehingga kini, JUST mempunyai 18,850 siswazah berbanding 2,300 pada 1989 dan setiap tahun lebih 3,000 pelajar pascaijazah diambil.

Berperanan penting dalam memacu ekonomi Jordan, JUST turut memberi penekanan kepada keperluan sumbangan kepada komuniti bagi memenuhi tanggungjawab sosial melalui penyelidikan berteraskan teori dan praktikal berserta tradisi saintifik serta inovasi akademik untuk memberikan kebaikan kepada masyarakat.

Mengimbau sejarah JUST, penubuhan universiti itu adalah sebahagian daripada Yarmouk University, Irbid pada 1 September 1986 dengan hanya lima fakulti iaitu perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan dan kejuruteraan.

Kini berkembang dengan sepuluh fakulti, kampus JUST yang terletak di Bandar Ramtha dibina dengan reka bentuk seni bina moden selain persekitaran kondusif dan menghijau.

Info

* Tersenarai antara IPT Islam terbaik dunia
* Sasaran menjadi universiti penyelidikan antarabangsa menjelang 2012
* Jaminan kualiti universiti dikawal selia JUST Quality Assurance Office
* Lebih 200 projek penyelidikan dijalankan setiap tahun
* Kampus JUST terletak di Bandar Ramtha

No comments: