Muhyiddin perjelas kriteria penerima biasiswa JPA

Muhyiddin perjelas kriteria penerima biasiswa JPA
KUALA LUMPUR 6 Julai - Kerajaan tidak pernah menghentikan program penajaan biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara bagi peringkat ijazah pertama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, memandangkan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu terhad, pemilihan dibuat berasaskan merit kriteria dan bidang yang ditetapkan.

Empat kriteria itu adalah pencapaian akademik; penglibatan dalam kegiatan kokurikulum; latar belakang keluarga; dan prestasi temu duga.

Fokus tajaan pula kepada bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.

Bagi permohonan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2010, menurut beliau, sebanyak 1,500 biasiswa disediakan sedangkan sejumlah 18,844 permohonan diterima dengan 10,956 daripadanya ialah calon yang melepasi syarat ditetapkan mengikut bidang pengajian.

"Peningkatan bilangan calon ini menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan para pelajar dan ibu bapa mengenai kaedah pengurusan dan penawaran biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009.

Selain penajaan ke luar negara, menurut Muhyiddin, kerajaan juga menyediakan biasiswa untuk Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).

Sebanyak 100 penajaan disediakan untuk mengikuti pengajian di empat universiti penyelidikan tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Ia melibatkan 31 pelajar Melayu dan 69 pelajar bukan bumiputera iaitu 61 (Cina), tujuh (India) dan seorang kaum lain.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, sebanyak 1,900 penajaan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology dalam bidang-bidang kritikal dan strategik.

Pelajar yang berjaya dipilih akan ditaja dari peringkat matrikulasi atau prauniversiti sehingga ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik semasa kursus persediaan.

Secara keseluruhannya, menurut Muhyiddin, seramai 3,750 pelajar cemerlang SPM 2009 ditawarkan penajaan untuk PILN dan PIDN 2010 yang melibatkan kos kerajaan sebanyak RM1.96 bilion.

No comments: