Tak peduli dorong jumlah anak luar nikah meningkat
2010/07/25
KUCHING: Sikap tidak ambil peduli masyarakat, khususnya kalangan remaja yang menolak ajaran agama serta budaya masyarakat tempatan adalah antara faktor mendorong golongan itu melakukan maksiat dan kelahiran anak luar nikah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata sindrom negatif itu menyebabkan secara puratanya, seorang bayi luar nikah dilahirkan pada setiap 17 minit di negara ini. Sambil menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan, Mashitah menegaskan, permasalahan itu menuntut semua pihak terutama ibu bapa, bekerjasama dan tidak menyerahkan tugas mendidik itu semata-mata kepada guru. “Jumlah 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan hasil statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jika kita pecahkan kepada purata bulanan, angkanya adalah 80,000 yang bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit.
“Malah sejak 2000 hingga Julai 2008, statistik menunjukkan bilangan bayi yang tidak dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran adalah seramai 257,000 dan angka berkenaan amat membimbangkan, sekali gus memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya sempena Program Integrasi Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment