Mohon biasiswa

Mohon biasiswa
Oleh Tamrin Anuar
amri@bharian.com.my
2010/07/20
Bank Rakyat tawar pembiayaan RM9,500 setahun kepada pelajar yang layak

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyarankan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) segera mengemukakan permohonan mendapatkan biasiswa bank itu kerana tarikh tutup permohonan berakhir hujung bulan ini.
Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abdul Lidzam Muhamad Alias, berkata pelajar yang layak akan ditawarkan pembiayaan berjumlah RM9,500 setahun.
Click Here
Katanya, pemegang biasiswa yang sudah menamatkan pengajian dikehendaki bekerja dengan Bank Rakyat atau subsidiari bank berkenaan selama lima tahun.

“Pihaknya juga menawarkan pinjaman boleh ubah dengan diskaun bayaran balik sehingga 20 peratus. Peminjam yang gagal dikehendaki membayar penuh jumlah pinjaman,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Skor A SPM di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan, Nibol Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Seramai 250 calon Sijil Pelajaran Malaysia dari 19 sekolah menengah sekitar Parit Buntar, Perak menyertai seminar sehari bertujuan mendedahkan peserta kepada strategi menjawab soalan peperiksaan dengan tepat dan berkesan.

Turut hadir Pengarah Kampus Kejuruteraan, USM, Prof Dr Abd Aziz Tajudin, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kerian, Abd Wahid Ramli dan Pengurus Bank Rakyat cawangan Bagan Serai, Rosyati Darus.
Abdul Lidzam berkata, peserta diharap dapat memanfaatkan peluang diberi dengan meningkatkan persediaan menghadapi peperiksaan November depan.

Sementara itu, peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, Muhammad Harith Mohd Shahar, berkata program berkenaan membantunya memahami topik yang dibincangkan.

Katanya, banyak maklumat dan panduan baru diperoleh daripada penceramah sekali gus digunakan ketika mengulangkaji pelajaran.

Rakannya, Munirah Zainal Mokhtar, dari SMK Seri Nibong, berkata bimbingan yang diberi penceramah berkesan dan berjaya menyelesaikan masalah untuk menguasai topik sukar terutama bagi mata pelajaran Matematik

No comments: