http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm

Rangsang minat membaca

Oleh ZUHAYATI YAZID

Pupuk minat anak-anak membaca sejak dari peringkat awal.

KANAK-KANAK sekarang semakin cerdik malah ramai di kalangan mereka boleh membaca seawal usia empat atau lima tahun. Jika kanak-kanak berusia tujuh tahun masih lagi merangkak-rangkak membaca, pasti situasi itu membimbangkan ibu bapa.

Ini kerana pada usia tersebut, mereka bukan lagi diajar membaca seperti 10 atau 20 tahun lalu, sebaliknya perlu menjawab pelbagai soalan yang lebih sukar.

Bagi ibu bapa, 'sindrom' seperti ini masih belum terlambat untuk merangsang minat membaca si kecil. Malah dalam kajian membuktikan pada usia tiga tahun pertama anak-anak kita, otak mereka berkembang dengan pesat dan mereka mudah menerima apa jua rangsangan.

Sebenarnya mengajar anak mengenal huruf boleh dilakukan secara perlahan-lahan. Selitkan pembelajaran ketika anak bermain.

Berikut adalah beberapa tip dan panduan bagi merangsang minat anak membaca serta mendidik diri mereka mencintai ilmu.

Tip

*Ketika mengandung, ibu digalakkan banyak membaca al-Quran dan berzikir serta diperdengarkan kepada janin.

*Gunakan kad bergambar atau kad imbasan, tunjukkan kepada anak gambar pada kad itu serta mengeja perkataan yang tertera.

*Ketika keluar rumah atau dalam kenderaan, pembelajaran secara tidak langsung boleh dilakukan. Latihlah mereka membaca dengan bertanya kepada anak anda apa yang tertulis di papan tanda perniagaan atau jalan. Anda juga boleh meminta anak mengeja menu makanan ketika dalam restoran.

*Ajak anak ke kedai buku, perpustakaan dan pesta buku. Cara ini dapat membiasakan anak dengan buku dan mencintai ilmu.

*Ketika membaca akhbar, buku atau majalah, babitkan mereka supaya dapat melakukan aktiviti tersebut, Ceritakan kepada anak kisah yang berlaku, khususnya membabitkan kanak-kanak.

*Sediakan bajet setiap bulan untuk membeli bahan bacaan dan pelbagaikan jenis bahan bacaan untuk anak.

*Bacakan buku cerita bila waktu terluang atau ketika anak hendak tidur. Teknik penceritaan hendaklah dalam gaya menarik dan menyeronokkan. Kaedah ini dapat menarik minat membaca kerana anak ingin tahu cerita yang terkandung dalam buku cerita yang dilihat.

*Sediakan buku cerita yang ada ilustrasi menarik bagi menarik minat anak.

*Setiap hari, ibu bapa biasakan membaca akhbar dan pada waktu terluang, baca majalah dan buku.

*Biasakan membeli buku menggantikan mainan untuk anak.

*Sekiranya anak-anak menunjuk reaksi positif terhadap pembacaan, puji anak sebagai tanda sokongan anda kepadanya. Jangan memarahi anak jika dia sukar mengingati suku kata atau terlupa sesuatu, sebaliknya kaitkan dengan perkara yang mudah diingati anak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm

No comments: