Pengawal minda

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pengawalminda/Article

Pengawal minda
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2010/03/11
sebelum - selepas
PERBINCANGAN bersama kakitangan Annabella House of Theraphy penting untuk menjadikan pelanggan yang datang menjalani terapi minda pulang dengan semangat baru. SHAMSILAWATI dan Amir bekerjasama untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan terutama dalam hal ketenangan minda.

PERBINCANGAN bersama kakitangan Annabella House of Theraphy penting untuk menjadikan pelanggan yang datang menjalani terapi minda pulang dengan semangat baru.
Pengalaman lalu buat Nabila pilih bidang terapi jiwa

PENGALAMAN masa lalu lazimnya akan mencorak sikap dan tingkah laku individu dalam kehidupan sehari-hari apabila mereka meningkat ke alam remaja mahupun memasuki dunia orang dewasa. Semua itu dikatakan ada kaitan dengan masalah kejiwaan kerana jiwa yang kacau, sedikit sebanyak terpancar pada wajah atau perlakuan.

Bagi Shamshilawati Abdul Rahman atau juga dikenali sebagai Nabila, pengalaman ketika kecil membesar menyaksikan keruntuhan rumah tangga kedua ibu bapa menjadikan beliau individu yang gemar bersendirian dan mudah tersentuh berbanding menikmati masa gembira bersama rakan sebaya. Namun pengalaman itu juga menjadikannya cepat matang berbanding usianya.

Selepas meningkat dewasa, beliau menjadi individu yang peka dengan alam sekeliling terutama membabitkan masalah berkaitan manusia dan kehidupan yang sudah semestinya tidak dapat dielakkan daripada masalah mendatang tanpa henti atau memerlukan penyelesaian dengan segera.

Bagi pemilik Annabella House of Therapy itu, masalah kejiwaan cukup menarik perhatian beliau untuk didalami, apatah lagi sebagai manusia beliau juga tidak terlepas daripada diduga dalam pelbagai situasi yang meruntun perasaan beliau dan menuntut kesabaran yang tinggi.

"Saya cukup teruja apabila memperkatakan mengenai masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Berdasarkan pengalaman dalam menangani masalah pelanggan, semua masalah ini ada kaitan rapat dengan jiwa dan minda yang celaru serta tiada kepastian dalam tindak tanduk disebabkan tiada ruang untuk meluahkan emosi yang menghambat diri.

"Sehubungan itu, jiwa dan minda yang celaru akan mendatangkan banyak keburukan kepada manusia seperti gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Remaja lari dari rumah, sumbang mahram, kecelaruan identiti, buang bayi dan pelacuran tidak dinafikan berpunca daripada jiwa yang tidak teguh," katanya ketika ditemui di premis terapi yang diusahakan beliau di Prima Saujana, Kajang, baru-baru ini.

Katanya, memang sejak kanak-kanak beliau sudah mempunyai 'dunia' peribadi yang tidak dikongsi dengan orang lain, tetapi dunia berkenaan membawa kebaikan kepada beliau kerana melalui medium itulah beliau mampu memahami setiap permasalahan yang diluahkan oleh pelanggan.

Malah, katanya, dengan cara itu juga beliau dapat membantu mereka yang mungkin terperangkap dengan lingkaran permasalahan yang sukar diselesaikan dan perlu dibantu.

"Pembabitan saya bermula ketika di sekolah menengah, di mana saya dilantik menjadi pembimbing rakan sebaya (PRS), kemudian di universiti pula saya aktif sebagai pembimbing rakan sebaya dan fasilitator. Memasuki dunia pekerjaan, saya sering menjadi tempat luahan rakan-rakan sepejabat.

"Saya tidak tahu atas sebab apa mereka sudi meluahkan masalah kepada saya walaupun masalah berkenaan bersifat amat peribadi. Mungkin saya pendengar yang baik, atau ikhlas memberikan pandangan terhadap masalah yang diutarakan dan saya sanjung kepercayaan yang mereka berikan," katanya.

Atas rasa prihatin selain berkongsi ilmu dan pengalaman, beliau berasa satu tanggungjawab perlu dilaksanakan apabila didatangi mereka yang mempunyai masalah baik masalah luaran atau pun dalaman. Baginya, individu berkenaan perlu dibantu walau dengan apa cara sekalipun.

Beliau memilih terapi minda kerana melalui pembersihan minda, jiwa akan menjadi tenang. Tambahnya lagi, kunci kebahagiaan yang sebenar-benarnya adalah ketenangan itu sendiri kerana ramai pelanggannya yang berjawatan tinggi, berkedudukan dan mempunyai ekonomi yang baik datang kepada beliau atas alasan jiwa yang kosong dan tiada ketenangan jiwa.

Katanya, antara masalah berkaitan yang boleh diperbetulkan melalui terapi minda ialah krisis rumah tangga, hubungan suami isteri, remaja bermasalah seperti lari dari rumah, penagihan dadah, kecelaruan identiti, kegemukan mahupun hilang keyakinan diri seperti gagap dan was-was.

”Saya berasa puas dan bersyukur setiap kali berupaya memperbaiki keadaan mereka yang datang ke sini berjumpa saya. Ada satu kes yang amat mencabar membabitkan perjanjian perceraian.

“Kedua-duanya sudah bersiap sedia untuk membubarkan perkahwinan mereka seolah-olah tiada jalan penyelesaian langsung. Apabila mereka datang menghadiri sesi terapi minda, mereka tidak jadi berpisah dan balik sebagai pasangan suami isteri yang menghadapi dunia baru," katanya.

Baginya, menyatukan kasih sayang pasangan suami isteri yang berada di ambang perpisahan adalah sesuatu yang amat menggembirakan lebih-lebih lagi jika berjaya mengembalikan mereka kepada keadaan asal.

Katanya, kanak-kanak tidak terkecuali mengalami kekacauan minda, bahkan paling mudah dipengaruhi oleh anasir yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka di usia muda.

“Kita tahu kanak-kanak tidak bijak menyusun kata, tetapi mereka tidak pandai berbohong dan akan menceritakan dengan tulus mengenai apa yang mereka lihat.

“Misalnya, jika hijau yang dilihat, maka hijaulah yang akan diceritakan kepada kita yang bertanya. Justeru, ada kes yang datang kepada saya, ibu bapa mengadu mengenai anak degil dan tidak mahu diajar. Apabila diselidik, anak memberitahu dia mempelajari banyak perkara daripada ibu bapa di rumah yang mendampinginya setiap hari,” katanya.

Terapi minda jadikan jiwa bersih

Berdasarkan pengalamannya sebagai penasihat terapi minda, Nabila sudah merangka satu kaedah terapi minda melalui Annabella Mind & Soul Empowerment Method, yang nyata memberikan impak positif yang besar ke dalam diri mereka yang datang bertemu dengan beliau.

Terapi minda dianggap sama seperti membersihkan minda yang mendorong ke arah pemilikan jiwa baru terhadap seseorang individu.

Bahkan, katanya, minda manusia juga sama seperti persisian komputer, dicemari virus apabila digunakan dalam tempoh yang panjang.

“Sehubungan itu, kalau sistem pengaturcaraan komputer mesti diformat balik supaya ia boleh kembali bekerja dengan cepat dan pantas, begitu juga dengan manusia.

“Bagi saya, apabila minda 'diformat' semula atau dalam erti kata lain diberi santapan rohani memalui proses pembersihan yang dilakukan, ia akan menjadi sihat dan kembali seperti baru seterusnya fikiran akan menjadi lebih lapang dan tenang bagi menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Bagaimanapun, cara untuk membersihkan minda tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana pengendali harus mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan. Katanya, jika dilakukan tanpa persediaan rapi, ia dikhuatiri tidak akan berkesan atau sebaliknya tambah memburukkan keadaan.

“Pengendali terapi minda seperti saya harus mempersiapkan diri kerana saya tidak tahu apakah bentuk masalah yang akan diluahkan kepada saya. Bahkan, sebagai pengendali saya wajar bersedia mental dan fizikal. “Tekanan dalam bentuk kekerasan fizikal memang tidak akan ada, tetapi tekanan mental mungkin ada. Jadi saya kena bersedia supaya dapat membantu pelanggan yang datang meluahkan masalah mereka,” katanya.

Dalam kes tertentu, Nabila mendapat bantuan suami, Amir Sharifuddin Zakaria, untuk meringankan 'beban' dalam diri kerana jika beliau sendiri tidak mempunyai mental yang bersedia, beliau tidak akan dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan daripada beliau.

“Saya beruntung kerana suami juga mempunyai pengetahuan dalam terapi minda. Selain mendapat sokongan beliau, saya kembali kepada asas kehidupan, iaitu kembali kepada agama untuk mendapatkan jiwa tenang. Apabila jiwa tenang, saya boleh membantu yang lain dengan hati lapang,” kata ibu kepada lima orang cahaya mata ini lagi.

Menurut bekas peserta program realiti keibubapaan terbitan TV3, Oh Ayah! Oh Ibu! ini lagi, peranan beliau sebagai seorang anak, isteri, ibu dan wanita bekerjaya banyak membantu beliau dalam menangani permasalahan para pelanggannya.

Beliau berkata, terapi minda tidak semestinya dilakukan oleh mereka yang menghadapi masalah dalam hidup, sebaliknya terapi juga boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu kehidupan sehari-harian. “Tidak salah kalau kita memperindahkan lagi sesuatu yang sudah molek dan teratur. Yang baik akan menjadi bertambah baik. Saya teruja dengan satu pasangan yang baru saja bertunang dan akan menghadapi hari bahagia mereka tidak lama lagi.

“Kedua-dua datang untuk menjalani terapi minda bagi mempersiapkan diri memasuki gerbang perkahwinan dengan alasan mereka ingin mengenali pasangan dengan lebih ikhlas dan berharap kemudian hari tidak akan berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan perhubungan mereka,” katanya.

Justeru, katanya, masalah berkaitan minda dan jiwa wajar ditangani dengan baik kerana jika dibiarkan berlarutan, ia akan menjejaskan mutu kehidupan individu, seterusnya mengocak ketenangan suatu perhubungan antara dua individu yang sepatutnya berjalan dengan lancar dan tenang.

“Saya berharap dengan sumbangan saya yang kecil ini mampu membantu individu menangani hidup dengan lebih baik, teratur dan memberangsangkan. Percayalah, kita semua boleh berubah ke arah yang lebih baik sekiranya kita inginkan perubahan positif itu. Kita hidup bukan untuk masa lampau, tetapi hari ini dan akan datang. Buatlah perkara terbaik hari ini, nescaya esok dan seterusnya akan menghasilkan kebaikan yang berterusan kepada kita.

“Kita mahu kehidupan yang lebih baik dari semasa ke semasa, jadi sesuatu perlu dilakukan untuk mencapainya. Jalan terbaik adalah kawal minda, pupuk minda dan susun atur minda ke arah yang sentiasa positif dan yakin. Selebihnya jiwa menjadi perkasa dan mendorong kita sentiasa berusaha mencapai yang terbaik," katanya.

Sementara itu, sempena cuti sekolah ini juga, Shamsilawati menganjurkan Kem Eksplorasi Diri: Jiwa Kreatif bermula 13 hingga 15 Mac untuk remaja berusia 10 hingga 17 tahun. Berminat menghantar anak menghadiri kem berkenaan, hubungi Shamshilawati di talian 019-2191202.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pengawalminda/Article

No comments: