Kaji skim khidmat pensyarah

Kaji skim khidmat pensyarah

Oleh HELMI MOHD. FOAD
dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin berbual dengan sebahagian menteri Kabinet pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 9 Mac – Kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut perguruan (IP) termasuk membenarkan kenaikan pangkat bagi profesor hingga ke peringkat turus tertinggi tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran di universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan melahirkan tenaga pengajar dan penyelidik terbaik serta bermotivasi.

Menurutnya, pada masa ini seorang profesor di IPTA hanya boleh mencapai gred khas A sedangkan kenaikan pangkat mereka tidak semestinya ‘dibendung’ oleh jawatan yang dipegang oleh Naib Canselor (NC) universiti.

“Sekiranya ada profesor yang amat berwibawa dan tersohor, dia boleh mendapat gred yang lebih tinggi daripada NC.

“Ini suatu perubahan yang meletakkan penilaian seorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada padanya. Ini bererti tidak semestinya hendak naik pangkat mesti rebut jawatan NC atau timbalan NC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Menurut Perdana Menteri, bagi melaksanakan kajian semula itu, satu mekanisme khas akan diwujudkan pada peringkat nasional.

Katanya, ia akan melibatkan elemen panel berkecuali dan semakan rakan setugas yang objektifnya memastikan penilaian yang adil diberi terhadap proses kenaikan itu.

“Ia tidak tertakluk pada apa tanggapan seorang individu tapi mesti ada sistem untuk membuat penilaian terhadap seorang yang bertaraf profesor,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat itu hendaklah berdasarkan pada meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik.

“Mahu tidak mahu dalam apa juga bidang dan lapangan, kita tidak boleh bertolak ansur dengan tahap mediokriti atau budaya ‘kecincaian’,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengesyorkan agar ganjaran istimewa diberi kepada pegawai atau kumpulan pegawai yang berjaya mendatangkan penjimatan besar kepada kerajaan.

“Pendek kata kita mahu penjawat awam sentiasa mencari kaedah pelaksanaan yang berkesan melibatkan penjimatan.

“Ertinya dengan jumlah kos yang sama tetapi kita berupaya mendapat kualiti lebih baik,” katanya.

No comments: