"Benci terhadap mama" : Bahan dari Utusan Malaysia
UNTUK berjaya dalam hidup, doa dan restu ibu amat penting. -Gambar hiasan
SAYA rasa adakalanya saya benci terhadap mama walaupun selama ini saya tidak pernah melawan, bermasam muka, menjawab malah hanya diam, dengar dan senyum.
Adakalanya hati ini memberontak, menangis dalam hati tetapi tiada siapa akan faham akan apa yang saya lalui, hanya Allah yang mengetahui segala yang diatur. Ibu saya kena strok selama sembilan bulan dua tahun lalu.
Walaupun dia kini sihat, dia banyak berubah. Saya berasa sangat tertekan malah seperti sakit jiwa dengan ibu saya serta keadaan rumah yang sangat bising dengan teriakan anak saudara saya yang diasuh oleh ibu saya.
Ibu selalu marah-marah, tengking saya sedangkan saya tidak tahu kesalahan saya, daripada sekolah rendah hinggalah sekarang. Ibu tidak pernah ambil berat tentang saya sama ada saya sudah makan atau tidak termasuk buku rekod laporan dan perasaan saya.
Saya tidak boleh melakukan sedikit pun kesalahan di depan ibu, saya bukanlah remaja yang suka melepak bersama kawan-kawan di luar. Saya habiskan masa di rumah, tolong ibu memasak dan buat kerja mengemas rumah dan barulah saya buat kerja lain.
Tapi apa yang mengecewakan saya, ibu saya tidak pernah sedikit pun menghargai apa yang saya buat, malah dia mengutuk saya di belakang. Dia selalu mengata saya bodoh, dia pandang saya seperti benci sangat akan saya berbeza dengan abang, ibu sopan sekali apabila bercakap dengan abang. Sesekali saya rasa nak bunuh diri, kami berkawan enam tahun lamanya hanya dia yang dengar luahan saya dan sentiasa menyokong saya. Saya kurang teman di sekolah, ramai orang benci saya. Dulu saya sering difitnah tetapi saya tak pernah membela diri.
Saya rasa nasib saya malang sekali, saya seperti berada di dalam sangkar kristal. Saya malu apabila ingin mengajak kawan saya ke rumah untuk belajar dengan sikap ibu yang selalu masam muka, jerit-jerit membuatkan kawan saya berasa serba salah.
Saya khuatir hilang fokus untuk belajar jika dalam keadaan yang berserabut dan gangguan daripada anak saudara saya. Banyak perkara yang membuatkan saya kecil hati tetapi saya sabar menghadapinya. Saya selalu berdoa agar Allah melembutkan hati saya dan saya ingin merasa kasih sayangnya dan semoga saya diberikan ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian Mu. Pesan saya terhadap ibu bapa di luar sana, selalulah ambil berat akan anak-anak, jangan biarkan mereka membenci dan malu dengan ibu bapa mereka sendiri dan fahamilah jiwa anak-anak.
n Odieo, Melaka.
Odieo,
Baru sahaja minggu lalu, seluruh dunia meraikan Hari Ibu dan sebagai umat Islam kita perlu sayang dan kasih ibu sepanjang hayat kita. Kasih ibu membawa ke syurga, itulah yang menjadi pedoman setiap anak. Odieo mungkin ingin ibu memahami diri anda, namun adakah Odieo memahami keadaan ibu anda? Ibu anda baru sahaja sembuh daripada penyakit dan keadaan ini boleh mempengaruhi emosi dan perasaannya kini. Seorang wanita yang telah melalui pelbagai dugaan termasuk jatuh sakit, mungkin menjadi lebih sensitif.
Justeru itu, sebagai anak, anda perlu memahami dan menyokongnya. Jika ibu selalu memarahi Odieo, janganlah berasa hati. Anggaplah teguran itu sebagai nasihat. Jika ibu seolah-olah marah dan pilih kasih, janganlah berdendam. Mungkin dia tidak sedar tentang situasi tersebut. Putri yakin, Odieo anak yang baik. Odieo perlu bersihkan hati daripada perasaan syak wasangka, bertenang dan terus berdoa. Apabila perasaan lebih lega dan tenang, setiap perkara yang kita lakukan lebih lancar dan mudah. Untuk berjaya dalam hidup, doa dan restu ibu bapa amat penting.
No comments:
Post a Comment